KONSEP ASAS FALSAFAH DAN FALSAFAH
PENDIDIKAN
FALSAFAH: Perkataan
yang berasal dari perkataan Yunani, iaitu philos (mencintai) dan sophia(kebijaksanaan).Dengan
berpandukan dua perkataan ini, istilah falsafah diertikan sebagai perihal
mencintai kebijaksanaan. Secara
huraiannya, falsafah merupakan satu disiplin ilmiah yang
mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Selain itu, falsafah juga dapat
difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Secara
ringkasnya, falsafah adalah satu usaha pemikiran mencari kebenaran.
PENDIDIKAN: Pendidikan berasal daripada perkataan didik yang bererti pelihara,
ajar dan jaga. Pendidikan boleh dihuraikan sebagai satu proses yang berterusan untuk
menjaga dan memelihara pembesaran tubuh badan dan pertumbuhan bakat manusia dengan
rapi supaya dapat melahirkan orang yang berilmu, baik tingkah laku dan dapat
mengekalkan nilai-nilai budaya dalam kalangan masyarakat. Mengikut pandangan
umum, pendidikan ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembentukan dan
perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Secara ringkasnya,
pendidikan ialah satu proses atau
aktiviti untuk mendidik insan menjadi seorang yang berilmu, berakhlak mulia
agar dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat.
KONSEP
PENDIDIKAN BERDASARKAN PERSPEKTIF ISLAM:
“satu proses secara berterusan memupuk seluruh potensi semula jadi
manusia dari segi intelek, akhlak, rohani dan jasmani secara bersepadu dan
seimbang ke arah pembentukan insan soleh yang membawa kebaikan di dunia dan
akhirat.”
FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM
Konsep:
Falsafah Islam
ialah falsafah yang berteraskan wahyu,
iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Apabila seseorang Islam yang faham Islam
membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah hidup atau
falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain, perbincangannya tidak akan lari
daripada prinsip dan matlamat Islam.
Oleh sebab
falsafah pendidikan Islam berasaskan ajaran Al-Quran, maka kurikulum pendidikan
Islam pula merujuk kepada ajaran Al-Quran sebagai pengajian utama, diikuti
dengan bahasa Arab sebagai media pengantar. Di samping itu, kurikulum
pendidikan pula merangkumi bidang pengajian kemanusiaan, termasuklah psikologi,
sosiologi, sejarah dan ekonomi, serta bidang ilmu mengenai alam tabii atau
sains semula jadi, seperti astronomi, biologi, botani dan sebagainya. Pendidikan
Islam menyepadukan pendidikan ilmu keduniaan dan keakhiratan.
Menurut Syed
Muhammad Al-Naquib Al-Attas, ilmu Islam masa kini merangkumi dua disiplin yang
utama, iaitu:
1. Disiplin
Agama: Ajaran Quran, teologi, metafizik, bahasa Arab dan Sastera.
2. Disiplin
Kognitif: Kemanusiaan, Alam Sekitar, Sains Gunaan dan Teknologi
Prinsip:
Prinsip adalah
suatu pernyataan fundamental atau kebenaran umum
mahupun individual yang dijadikan oleh seseorang/ kelompok sebagai sebuah pedoman untuk berfikir
atau bertindak.
Bidang pendidikan
Islam:
-Al-Imaniyah(pendidikan
iman)
-Al-Khuluqiyah(pendidikan
akhlak)
-Al-jismiyah(pendidikan
jasmani)
-Al-aqiliyah(pendidikan
mental)
-Al-nafsiyah(pendidikan
jiwa)
-Al-ijlimaiyah(pendidikan
sosial)
-Al-jinisiyah(pendidikan
seks)
Secara umumnya, perkara-perkara yang
menjadi dasar falsafah pendidikan Islam, mengikut Hassan Langgung (1979),ialah:
-keesaan Tuhan
(Tauhid)
-kepercayaan
pesuruh - pesuruh-Nya
-kepercayaan
kepada wahyu-wahyu Tuhan kepada Nabi-nabi
-Manusia
mempunyai potensi dalam perkembangan moral dan kerohanian
-setiap
individu bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri
-kehidupan
keduniaan dan keakhiratan
-persamaan dan
persaudaraan sejagat di antara semua umat Islam
Pendidikan Islam dididik dalam diri pelajar
adalah untuk:
-bertingkah
laku baik
-mencapai
kesempurnaan rohani
-melakukan
kebajikan
-mengamalkan
budaya halus
-membiasakan
diri dengan kebersihan, keikhlasan dan amalan baik
Pendidikan Islam
ialah proses yang mendidik dan melatih minda, tubuh, roh, dan emosi manusia, dan
membimbing pendidik untuk membentuk pelajar berdasarkan ajaran Islam.
Hal ini tercapai
berdasarkan ilmu wahyu (Al-Quran), amal(amalan) Nabi Muhammad s.a.w. (Sunnah)
dan sahabat-sahabatnya, dan melalui pengalaman Salafal-Salih dan tokoh-tokoh
pendidikan ulung yang lain.
Kementerian Pendidikan
Malaysia menyatakan bahawa Pendidikan Islam ialah usaha berterusan untuk menyampaikan
ilmu, kemahiran, dan amalan Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah.
Ini akan menyediakan
manusia dengan pengalaman dan pengetahuan yang mencukupi supaya dia tahu siapa dia,
peranannya, dan tanggungjawabnya sebagai hamba Tuhan serta menjadi seorang pemimpin
yang baik
Falsafah Islam
menerangkan tentang pertalian manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan
manusia dan manusia dengan persekitarannya.
Dari pandangan tokoh-tokoh Islam, proses
pendidikan merupakan penyatuan semua ilmu pengetahuan di bawah al-Quran yang
menjadi teras pendidikan. Mengikut mereka, pendidikan boleh memainkan peranan
ke arah mewujudkan keseimbangan antara potensi fizikal, intelek dan rohani
manusia.
SECARA
KESIMPULANNYA:
Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu,
kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan as-sunnah bagi
membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar
dan negara ke arah mencapai kebaikan di
dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
al-Shaibani,1979
Falsafah pendidikan
Islam bertujuan untuk menyediakan manusia dengan pengalaman dan ilmu
pengetahuan yang cukup agar dia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya,
mengetahui cara menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah agar
menjadi insan yang soleh (berteraskan roh Islam). Dengan kata lain, falsafah
pendidikan Islam merupakan usaha pelaksanaan teori dan kaedah dalam bidang
pendidikan. Justeru, falsafah pendidikan Islam merangkumi aspek-aspek seperti
matlamat, kandungan dan dasar pendidikan Islam.
Pandangan beberapa
ahli falsafah mengenai falsafah pendidikan Islam:
Ibn Rushd:
Latar belakang
beliau:
“Terkenal di Barat sebagai Averroes, ialah seorang ahli pemikir Muslim
agung dan terkenal sebagai ahli sains yang ternama, serta seorang doktor yang ulung
dan Hakim Besar (Kadi Agung) di Sepanyol Muslim (Andalusia) semasa abad ke-12. Beliau
mempunyai pengaruh besar terhadap pemikiran Barat.”
Beliau berpendapat
bahawa agama dan falsafah adalah saling melengkapi.
Kata beliau, “sesiapa yang belajar anatomi, akan
meningkatkan lagi kesetiaannya kepada keagungan dan keunggulan Tuhan yang Maha
Kuasa”
Menurut beliau
juga, minda adalah alat muktamad untuk mendapatkan ilmu. Allah telah
menciptakan minda bagi membolehkan individu membuat penaakulan tentang
kewujudan-Nya dan menaakul tentang perkara-perkara di dunia ini. Tambahan lagi,
kesempurnaan mental dan emosi hanya akan dicapai apabila manusia cinta dan
patuh kepada Allah.
Ibn Rushd menyatakan
bahawa Islam menghasratkan pengetahuan sebenar yang didefinisikan sebagai pengetahuan
tentang Tuhan dan ciptaan-Nya.
Ia juga termasuk
hal mengetahui cara mencapai kepuasan di dunia dan juga cara mengelakkan kesengsaraan
di Akhirat(Ead,1998).
Al-Ghazali
Latar
belakang:
“Abu Hamed Mohammad ibn Mohammad al-Ghazali
dan juga digelar sebagai Algazel. Beliau terkenal dalam sejarah Islam sebagai
seorang falsafah, ahli teologi dan ahli juri yang amat disegani.”
Sumbangan
beliau:
Menghasilkan lebih
daripada 400 buah karya dalam pelbagai bidang seperti teologi, falsafah, sains
dan ilmu Sufi.
Secara
keseluruhan, boleh dikatakan bahawa hasil karya Al-Ghazali yang agung itu
berjaya mengekalkan keberkesanan sumbangan beliau sepanjang abad. Fikiran beliau
tidak luntur dengan peredaran zaman. Sebaliknya, fikiran beliau yang bernas
tetap hidup segar bersama-sama pengaruh beliau yang kuat dan meluas dalam
bidang falsafah Islam sehingga hari ini.
Berpendapat bahawa
proses pendidikan hendaklah merangkumi aspek intelek latihan jasmani serta
pembinaan akhlak yang mulia, berani dan hormat-menghormati.
Menurut Imam
al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din, pembelajaran adalah satu aktiviti
sepanjang hayat atau pembelajaran berterusan tanpa henti dan tidak terikat
dengan peningkatan usia.
Ibn Khaldun
Latar
belakang:
“Abdurahman bin Muhammad bin Muhammad bin
Muhammad bin Al-Hasan bin Jabir bin Muhammad bin Ibrahim bin Abdurahman bin Ibn
Khaldun. Lahir pada tahun 1332 di Tunis, Tunisia. Seorang tokoh falsafah,
sejarah dan sosiologi yang amat terkenal dalam sejarah dunia Islam.”
Sumbangan:
Pandangan beliau
terhadap falsafah bersamaan dengan Al-Ghazali di mana beliau juga berfokuskan
kepada ilmu mistik dan teologi. Sebenarnya sumbangan utama Ibn Khaldun adalah
dalam bidang falsafah sejarah dan
sosiologi (Umraniyat). Beliau telah berusaha menulis mengenai sejarah dunia di
mana naskhah pertama beliau mengandungi analisis peristiwa-peristiwa sejarah.
Naskhah tersebut dikenali sebagai al-Muqaddimah atau Prolegomena mengenal pasti unsur-unsur psikologi, ekonomi,
persekitaran dan sosial yang menyumbangkan kepada tamadun kita serta sejarah
masa kini. Di samping itu, beliau juga menganalisis tentang dinamika hubungan
kelompok serta menunjukkan kepentingan al-‘Asabiyya (perasaan kekitaan) bagi
mewujudkan tamadun baru serta meningkatkan kuasa politik dalam kalangan
masyarakat.
Al-Farabi
Latar
belakang:
“terkenal sebagai tokoh Islam yang banyak
menyumbangkan pemikiran beliau dalam bidang sains, falsafah, logik, sosiologi,
perubatan, matematik dan muzik.”
Sumbangan:
Sumbangan utama
adalah dalam bidang falsafah, logik dan sosiologi. Beliau merupakan seorang
Neoplatonist yang telah banyak menggabungkan pemikiran Plato dan Aristotle
dengan teologi. Al-Farabi juga telah membahagikan pengajian logik kepada dua
kategori iaitu Takhayyul (idea) dan Thubut (bukti).
Muhammad Qutb
Pend.-Satu proses untuk membina manusia
secara menyeluruh (jasad, intelek dan rohnya, kehidupan kebendaan dan rohaninya
serta setiap aktiviti hidupnya). Ia bersifat menyeluruh dan bersepadu, juga cenderung
ke arah mewujudkan keseimbangan antara potensi fizikal, intelektual dan kerohanian
manusia.
Hamka
Latar belakang
beliau:
“ nama penuhnya ialah Haji Abdul Malik Karim
Amrullah. Merupakan tokoh pendidikan Islam yang paling berpengaruh di Indonesia
pada abad ke-20”
Pendidikan ialah
suatu proses yang boleh membentuk tingkah laku yang baik, sikap yang berani
serta budi pekerti yang mulia seperti sikap merendahkan diri, sabar,
menghormati orang tua dan sebagainya.
Dr. Mohd Athiyah al-Abrasyi
Memandangkan proses
pendidikan sebagai pembinaan tingkah laku manusia yang berakhlak tinggi dan
mulia di bawah teras ajaran agama Islam.